fb fb fb fb fb

Pemimpin Arab, Islam bermesyuarat di Qatar kecam serangan Israel

Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berbual dengan pegawai Hamas, Husam Badran, ketika menghadiri pengebumian mangsa serangan udara Israel di Tanah Perkuburan Mesaimeer, Doha, 11 September 2025. Foto- AFP

DOHA, 13 September - Qatar mengumumkan akan menganjurkan sidang kemuncak pemimpin Arab dan Islam bagi mengecam serangan Israel terhadap pegawai Hamas di Doha serta menyatakan solidariti bersama negara Teluk itu.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, berkata mesyuarat pada Isnin akan membincangkan draf resolusi mengenai serangan Israel terhadap negara Qatar yang akan dirangka dalam mesyuarat peringkat menteri pada Ahad.

Beliau menegaskan sidang itu mencerminkan solidariti luas Arab dan Islam bersama Qatar dalam menghadapi pencerobohan pengecut Israel serta penolakan tegas terhadap keganasan negara Israel, menurut laporan Agensi Berita Rasmi Qatar (QNA).

Antara pemimpin yang dijangka hadir ialah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani. Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, juga berada di Doha namun kehadirannya dalam mesyuarat masih belum disahkan.

Pada Selasa lalu, Israel melancarkan serangan di ibu negara Qatar yang menyasarkan pemimpin Hamas, mengorbankan lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar.

Serangan itu mencetuskan kecaman antarabangsa meluas termasuk daripada monarki Teluk yang bersekutu dengan Amerika Syarikat, penyokong utama Israel.

Qatar yang menempatkan pangkalan tentera AS terbesar di rantau itu turut memainkan peranan sebagai pengantara dalam konflik Gaza bersama Amerika Syarikat dan Mesir.

Penganalisis menyatakan sidang tersebut bertujuan menghantar isyarat jelas kepada Israel.

“Serangan Israel dilihat di seluruh Teluk sebagai pelanggaran kedaulatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan serangan terhadap diplomasi itu sendiri,” kata Andreas Krieg dari King’s College London, sambil menambah sidang itu memberi mesej bahawa “pencerobohan sedemikian tidak boleh dinormalisasikan.”

Beliau berkata matlamat sidang itu adalah untuk menetapkan garis merah yang jelas dan menamatkan persepsi di Israel bahawa mereka boleh bertindak sewenang-wenangnya. Katanya lagi, jangkakan pendirian lebih tegas terhadap Palestin dan sikap lebih keras terhadap tindakan Israel.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN