GAZA, 13 September - Tentera Israel melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di Jalan al-Thawra, Bandar Gaza, yang menjadi tempat perlindungan penduduk Palestin berpindah.
Rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal menjulang selepas serangan, selain memusnahkan kenderaan serta mencetuskan kebakaran yang menimbulkan panik dalam kalangan orang awam.
Serangan itu berlaku pada hari kelapan operasi ketenteraan Israel yang dinamakan Gideon’s Chariots 2, yang bermula pada 5 September dengan tumpuan merobohkan bangunan tinggi di Gaza.
Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan menara kediaman melebihi tujuh tingkat serta puluhan blok apartmen telah musnah.
Pasukan Pertahanan Awam Gaza berkata, serangan udara Israel dengan sengaja menyasarkan kawasan kediaman untuk memaksa keluarga meninggalkan rumah mereka tanpa menghiraukan keadaan kemanusiaan yang kritikal.
Agensi itu menjelaskan banyak keluarga yang diarahkan berpindah berdepan kesukaran mendapatkan tempat perlindungan alternatif, malah ada yang kembali ke rumah rosak dalam tempoh beberapa jam meskipun berisiko tinggi runtuhan bangunan.
Tentera Israel berulang kali mengarahkan orang awam berpindah ke kawasan selatan Al-Mawasi yang diisytihar sebagai “zon kemanusiaan selamat”, namun kawasan itu turut menjadi sasaran serangan.
Human Rights Watch dalam laporan bulan lalu menyatakan Israel telah memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur Gaza sejak Oktober 2023, termasuk rumah, sekolah dan perkhidmatan awam, menyebabkan kebanyakan keluarga terpaksa berlindung di bilik darjah sesak atau bangunan universiti yang rosak.
Peperangan Israel di Gaza kini melepasi 700 hari dengan lebih 64,700 penduduk Palestin terbunuh, manakala wilayah itu berdepan kemusnahan besar serta krisis kebuluran.-REUTERS