fb fb fb fb fb

Trump diarah bayar AS$83 juta kepada E. Jean Carroll

E. Jean Carroll / FOTO AFP

NEW YORK, 27 Januari- Bekas Presiden A.S. Donald Trump diarahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$83.3 juta kepada penulis E. Jean Carroll kerana komen berunsur fitnah yang dibuatnya terhadap wanita itu ketika menjadi presiden.

Carroll menyaman Trump pada 2019 kerana memperlekehkan dakwaannya bahawa dia menyerangnya secara seksual di bilik persalinan gedung serbaneka pada 1990-an.

Menerusi saman tersebut, dia telah menuntut sekurang-kurangnya AS$10 juta daripada Trump, dengan alasan bahawa Trump telah merosakkan reputasinya sebagai seorang wartawan.

Keputusan itu dibuat pada Jumaat oleh sembilan orang juri, setelah mengambil masa kira-kira tiga setengah jam untuk mencapai kata sepakat.

Trump hadir di hadapan saksi pada Khamis untuk mempertahankan dirinya terhadap dakwaan itu. Dia mempertahankan dirinya dan menganggap tuduhan Carroll sebagai palsu.

Trump, calon Republikan 2024 yang berkemungkinan bertanding menentang Presiden Demokrat Joe Biden dalam pilihan raya presiden pada November, menafikan semua dakwaan terhadapnya.

Selepas keputusan itu diumumkan pada hari Jumaat, Trump membuat satu hantaran di platform media sosialnya, Truth Social, bahawa dia akan merayu keputusan itu sambil menyifatkan kes tersebut telah diatur oleh Biden.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE