BOGOTA, 3 September- Kereta api metro pertama Bogotá tiba di Pelabuhan Cartagena pada Selasa, sekali gus menandakan detik bersejarah selepas penantian selama 83 tahun bagi ibu negara Colombia itu.
Menurut Pejabat Datuk Bandar Bogotá, enam gerabak yang membentuk tren pertama untuk Laluan 1 bandar tersebut telah diturunkan daripada kapal kargo dari China.
Datuk Bandar Bogotá, Carlos Fernando Galán, berkata ketibaan tren berkenaan menamatkan reputasi Bogotá sebagai ibu kota terbesar dunia tanpa sistem metro, sambil menyifatkannya sebagai permulaan era baharu.
Pengarah Projek Metro Laluan Pertama Bogotá, Yang Qiwu menyifatkan peristiwa itu sebagai penzahiran impian penduduk bandar tersebut yang telah menunggu sejak 1942, berikutan janji yang pernah diutarakan oleh Datuk Bandar ketika itu, Carlos Sanz de Santamaría.
Berdasarkan laman sesawang Metro Bogotá, sistem metro itu dijangka mula beroperasi pada Mac 2028 dengan keseluruhan 30 tren, setiap satu terdiri daripada enam gerabak yang mampu membawa sehingga 1,800 penumpang. -REUTERS