WASHINGTON, 3 September - Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) menolak tuntutan kerajaan supaya Google menjual pelayar web Chrome dalam kes antitrust terbesar membabitkan syarikat teknologi itu, namun tetap mengenakan syarat ketat bagi mengembalikan persaingan dalam pasaran carian internet.
Hakim Amit Mehta sebelum ini mendapati Google mengekalkan monopoli secara haram melalui perjanjian eksklusif bernilai berbilion dolar setiap tahun, sekali gus melanggar undang-undang persaingan.
Dalam keputusan terbarunya, Mehta menyifatkan langkah menjual Chrome sebagai “sangat berisiko dan rumit”, sambil menegaskan kerajaan bertindak keterlaluan dengan tuntutan tersebut.
Kerajaan AS berhujah bahawa Chrome menjadi pintu masuk utama aktiviti internet dan menyumbang kepada sepertiga carian Google.
Keputusan ini dianggap antara yang paling penting terhadap amalan monopoli korporat dalam tempoh dua dekad dan berpotensi memberi kesan besar kepada landskap teknologi global. -AFP