fb fb fb fb fb

12 terkorban termasuk anggota keselamatan dalam serangan ekstremis di Pakistan

Askar Pakistan berkawal di kawasan sekitar ibu pejabat Frontier Constabulary (FC) di Bannu, wilayah Khyber Pakhtunkhwa selepas serangan militan yang mengorbankan 12 orang/ Foto REUTERS

BANNU, 3 September - Sekurang-kurangnya enam anggota keselamatan dan enam ekstremis terbunuh dalam serangan ke atas pangkalan pasukan paramilitari di Bannu, barat laut Pakistan, yang bermula dengan letupan bom bunuh diri pada Selasa.

Ketua Polis Wilayah, Sajjad Khan berkata serangan bermula apabila seorang pengebom berani mati merempuh kenderaan sarat bahan letupan ke tembok pangkalan berkenaan, sebelum kumpulan penyerang lain memasuki kawasan itu.

Pertempuran berlarutan hampir 12 jam, mengakibatkan 16 anggota keselamatan dan tiga orang awam cedera.

Bannu terletak berhampiran sempadan bergolak dengan Afghanistan, kawasan yang sudah lama menjadi kubu kumpulan ekstremis.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab. Bagaimanapun, pihak berkuasa menyalahkan kumpulan ekstremis Islamis, dengan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dikenal pasti sebagai kumpulan utama yang aktif di wilayah tersebut.

Sejak tahun 2007, TTP melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Pakistan dengan tujuan menegakkan undang-undang Islam versi mereka, sementara Islamabad menuduh kumpulan itu beroperasi dari Afghanistan, dakwaan yang dinafikan Kabul. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN