fb fb fb fb fb

Tragedi Stadium Kanjuruhan: 5 individu didakwa

(Rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur pada Oktober lalu menyebabkan
135 orang terkorban, termasuk lebih 40 kanak-kanak/REUTERS)

SURABAYA, 16 Januari- Mahkamah Indonesia pada Isnin memulakan perbicaraan terhadap lima individu terdiri daripada pegawai polis dan penganjur perlawanan bola sepak atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian 135 orang, termasuk kanak-kanak.

Rempuhan maut itu terjadi selepas polis melepaskan gas pemedih mata di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur.

Ia turut mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan dan penggunaan gas pemedih mata serta amalan langkah kawalan yang dilarang oleh badan induk global bola sepak, FIFA.

Pendakwaan dibuat terhadap lima lelaki masing-masing tiga pegawai polis yang membenar atau mengarahkan penggunaan gas pemedih mata serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Arema FC dan ketua keselamatan

Semua tertuduh didakwa melakukan kecuaian jenayah, menyebabkan kematian dan kecederaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut jurucakap Mahkamah Agung Pranata, perbicaraan itu diadakan melalui telesidang atas sebab keselamatan.

Suruhanjaya hak asasi manusia Indonesia, yang menjalankan siasatan November lalu, mendapati polis melepaskan 45 das tembakan gas pemedih mata ke arah orang ramai pada penghujung perlawanan, menyebabkan situasi cemas yang membawa kepada rempuhan.

Penyiasat menyimpulkan bahawa penggunaan gas pemedih mata yang berlebihan dan sembarangan adalah pencetus utama di sebalik tragedi berkenaan.

(Polis bersedia membuat kawalan di Mahkamah Surabaya menjelang perbicaraan pertama kes rempuhan di stadium
bola sepak di Jawa Timur yang mengorbankan 135 orang pada Oktober lalu/ REUTERS)

Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian Oktober tahun lalu itu meletakkan rusuhan di Stadium Kanjuruhan sebagai terburuk di Asia dan kedua dalam sejarah bola sepak dunia.

Insiden di Lima, Peru kekal sebagai tragedi terburuk selepas 328 orang terkorban ketika aksi kelayakan Olimpik Tokyo antara Peru dan Argentina pada 24 Mei 1964.

Peguam penganjur perlawanan dari Arema, salah sebuah kelab bola sepak yang terlibat dalam perlawanan itu, berkata anak guamnya menafikan semua pertuduhan.

“Sekiranya ada kecuaian sepatutnya polis, yang melepaskan gas pemedih mata, bukan kami,” kata Sudarman, peguam berkenaan.

Peguam yang mewakili polis dan pegawai keselamatan disakwa bagaimanapun enggan mengulas lanjut. REUTERS

Media Baharu