(Pesawat pejuang India tibe di Jepun 10 januari lalu-/AFP)
TOKYO, 16 Januari- Jepun dan India memulakan latihan jet pejuang bersama pertama berhampiran Tokyo ketika kedua-dua negara itu meningkatkan hubungan pertahanan dan keselamatan berikutan ancaman kekuatan tentera China yang semakin meningkat.
Menurut Kementerian Pertahanan Jepun, latihan bersama selama 11 hari itu akan melibatkan lapan jet pejuang Jepun dengan India menghantar empat pesawat pejuang, dua pesawat pengangkut dan sebuah kapal pengisi minyak.
Kira-kira 150 anggota Tentera Udara India mengambil bahagian dalam latihan di Pangkalan Udara Hyakuri di wilayah Ibaraki, timur laut Tokyo.
Latihan itu dipersetujui oleh kedua-dua negara semasa perbincangan antara Menteri Pertahanan serta Meteri Luar Jepun dan India pada tahun 2019, tetapi terpaksa ditangguhkan akibat wabak COVID-19.
Jepun dan India bersama Australia dan Amerika Syarikat (AS) adalah sebahagian daripada pakatan ‘Quad’ iaitu kumpulan kuasa serantau yang semakin prihatin terhadap pengaruh ketenteraan dan ekonomi China.
Tokyo telah mengadakan beberapa latihan ketenteraan bersama sejak beberapa bulan kebelakangan ini, serta merombak strategi pertahanan dan keselamatannya dan secara jelas menyuarakan kebimbangannya tentang China.
(Ketibaan pesawat pejuang Tentera Udara India di Pangkalan Udara Tentera Udara Jepun
untuk latihan bersama Jepun-India di Omitama, wilayah Ibaraki, timur laut Tokyo/AFP)
Pada bulan Disember tahun lalu, kerajaan Jepun komited untuk menggandakan perbelanjaan pertahanan kepada dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2027 dan menggelar China sebagai cabaran strategik paling besar terhadap keselamatan Jepun.
Minggu lalu, Jepun menandatangani perjanjian pertahanan baharu dengan Britain dan bersetuju untuk meluaskan perjanjian pertahanan bersama dengan Washington kepada serangan udara. -AFP