ISTANBUL, 18 Mei – 32 individu bakal berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah mengakibatkan kebakaran dahsyat yang memusnahkan Hotel Grand Kartal di pusat peranginan ski Kartalkaya, utara Turkiye, yang mengorbankan 78 nyawa Januari lalu.
Menurut pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwa raya di Bolu, 13 suspek termasuk pemilik hotel, pengurus, ahli lembaga pengarah, serta timbalan datuk bandar dan pegawai bomba, dituduh membunuh dengan niat.
Sementara 19 individu lain, termasuk kakitangan teknikal dan dapur serta pakar penyelenggaraan luar, turut berdepan tuduhan cuai.
Kebakaran yang tercetus pada pukul 3:17 pagi, 21 Januari itu dipercayai berpunca daripada alat pemanggang elektrik yang rosak di dapur tingkat empat.
Ketika kejadian, seramai 238 tetamu menginap di hotel tersebut sempena dengan cuti musim sejuk.
Ramai tetamu hotel yang panik telah cuba menyelamatkan diri melalui tingkap, namun ada yang terjatuh dan maut. - AFP