fb fb fb fb fb

12 ditembak mati, 9 ditahan dalam serbuan pasukan keselamatan Mexico

Foto Reuters

MEXICO, 18 Mei - Pasukan keselamatan Mexico menembak mati 12 individu dan menahan sembilan yang lain dalam satu operasi besar-besaran yang disasarkan terhadap tapak kumpulan jenayah di kawasan luar bandar Huitzontla, negeri Michoacan, barat daya negara itu.

Operasi tersebut yang diketuai oleh anggota Tentera Laut Mexico turut mengakibatkan tiga anggotanya cedera, menurut Menteri Keselamatan, Omar Harfuch, dalam satu kenyataan di media sosial.

Mereka yang ditahan dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah berat termasuk pembunuhan, pemerasan dan penculikan.

Hasil pemeriksaan di lokasi, pihak berkuasa turut menemui sejumlah senjata api dan peralatan taktikal.

Menurut kenyataan, kumpulan jenayah tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah melalui laluan maritim yang aktif di rantau itu.

“Pasukan keselamatan telah menghadapi serangan kuat yang memerlukan penggunaan kekerasan selaras dengan peraturan operasi semasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dua akhbar tempatan, El Universal dan La Jornada, melaporkan kumpulan yang diserbu itu dipercayai sebahagian daripada Cartel Jalisco Nueva Generación (CJNG), salah satu daripada dua kartel dadah terbesar di Mexico.

Kartel tersebut telah diisytiharkan sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN