fb fb fb fb fb

Bom meletup berhampiran klinik kesuburan di California, seorang terbunuh

Foto Reuters

CALIFORNIA, 18 Mei - Sebuah letupan bom berhampiran sebuah klinik kesihatan kesuburan di Palm Springs, California, mengorbankan seorang individu dan mencederakan sekurang-kurangnya lima yang lain, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

Datuk Bandar Palm Springs, Ron DeHarte, mengesahkan letupan tersebut berpunca daripada sebuah bom yang dipercayai berada di dalam atau berhampiran sebuah kereta.

Letupan berlaku sebelum pukul 11 pagi waktu Pasifik (1800 GMT), menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik oleh pihak berkuasa bandar dalam satu hantaran di Facebook.

Sumber penguat kuasa undang-undang yang dipetik oleh ABC News menyatakan lima individu mengalami kecederaan akibat letupan berkenaan, manakala identiti mangsa yang maut masih belum didedahkan.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Los Angeles dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan siasatan sedang dijalankan, dan pasukan teknikal bom telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Palm Springs terletak kira-kira 100 batu (161 kilometer) di timur Los Angeles.

Pejabat Gabenor California, Gavin Newsom, turut mengesahkan bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan sedang memantau perkembangan siasatan.

Menurut laporan Associated Press (AP), klinik kesuburan American Reproductive Centers mengalami kerosakan dalam letupan tersebut.

Namun begitu, semua kakitangan klinik dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Kenyataan itu dipetik daripada Dr. Maher Abdallah, wakil klinik berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, FBI telah mengesahkan letupan yang berlaku di Palm Springs, California, merupakan satu serangan keganasan yang disengajakan dan dipercayai disasarkan secara khusus terhadap fasiliti berkenaan.

“Ia merupakan satu tindakan keganasan yang disengajakan. Siasatan kami akan menentukan sama ada ia melibatkan keganasan antarabangsa atau domestik,” kata Ketua Pejabat FBI Los Angeles, Akil Davis, dalam satu sidang media.

Ditanya sama ada klinik berkenaan sememangnya menjadi sasaran serangan, Akil menjawab: “Kami percaya begitu, ya.”-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN