fb fb fb fb fb

Tragedi gempa bumi Turkiye: 48 suspek ditahan curi, tipu mangsa

(Ratusan bangunan turut terjejas dalam kejadian gempa bumi Turkiye/FOTO AFP)

ISTANBUL, 13 Februari - Seramai 48 individu ditahan pihak berkuasa Turkiye selepas disyaki mencuri atau cuba memperdayakan mangsa terkesan akibat tragedi gempa bumi yang dahsyat melanda negara itu pada 6 Februari lalu.

Media tempatan melaporkan, kesemua suspek berkenaan ditahan di lapan wilayah berasingan.

Operasi itu merupakan sebahagian siasatan terhadap jenayah tersebut selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Turkiye, Isnin lalu.

Sementara itu, agensi berita Anadolu melaporkan, seramai 42 suspek ditahan di wilayah Hatay manakala enam lagi ditahan selepas cuba menipu mangsa di Gaziantep menerusi panggilan telefon.

Setakat ini, gempa bumi dan gempa susulan membunuh hampir 28,000 orang di Turkiye dan Syria.

Sebelum ini, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perintah darurat selama tiga bulan di 10 wilayah di tenggara Turkiye yang terjejas dengan bencana itu.

Menurut warta rasmi kerajaan yang disiarkan pada Sabtu, pihak pendakwa raya kini boleh menahan individu dengan tempoh tambahan tiga hari berbanding empat hari sebelum ini, di bawah perintah darurat itu.

(Pasukan mencari dan menyelamat melakukan tugas mencari mangsa yang terjejas kerana tragedi gempa bumi pada Isnin lalu/FOTO AFP)

Erdogan kelmarin berikrar untuk menangani jenayah berkenaan.

“Kita sudah mengumumkan perintah darurat.

“Ini bermakna bermula sekarang, mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kecurian atau culik akan berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa,” katanya ketika lawatan di wilayah terjejas di Diyarbakir. - AFP

Media Baharu