fb fb fb fb fb

Junta Myanmar benarkan 'rakyat yang setia' bawa senjata berlesen

(Masyarakat tempatan selepas di bawah pemerintahan Junta tentera Myanmar/FOTO REUTERS)

YANGON, 13 Februari - Media tempatan Myanmar mendedahkan orang awam yang 'taat dan setia kepada negara' dibenarkan oleh Junta tentera Myanmar untuk memohon lesen membawa senjata api.

Perkara itu dedahkan berdasarkan dokumen sulit Kementerian Dalam Negeri yang dibocorkan dan telah diteliti oleh Reuters serta beberapa agensi media lain.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan para pakar dengan membenarkan orang awam membawa senjata yang akan memperkasakan kumpulan pro-junta dan hanya meningkatkan keganasan serta pertempuran hampir setiap hari.

Antara syarat yang dinyatakan dalam dokumen yang bocor itu termasuk pemohon mesti berumur 18 tahun.

Selain itu, pemohon juga perlu ada keperluan yang boleh dibuktikan untuk memiliki senjata bagi tujuan keselamatan.

Ia sebagai tambahan kepada keperluan 'kesetiaan kepada negara'.

Bagaimanapun, Reuters gagal mendapat sebarang pengesahan jurucakap tentera junta Myanmar berhubung pendedahan dokumen 15 muka surat itu termasuk mengenai tarikh penguatkuasaannya.

(Masyarakat tempatan selepas di bawah pemerintahan Junta tentera Myanmar/FOTO REUTERS)

Dokumen itu memperuntukkan anggota anti-pemberontakan, militia ditubuhkan secara rasmi dan mereka yang bersara daripada tentera untuk membawa senjata selain senapang ringan selagi mereka mempunyai permit bagi berbuat demikian.

Menurut dokumen sama, kerajaan tentera mempunyai hak untuk mengimport dan menjual senjata api serta peluru yang dilesenkan oleh Kementerian Pertahanan.

Junta tentera mengetuai rampasan kuasa pada Februari 2021, sekali gus menggulingkan kerajaan sedia ada pimpinan Aung San Su Kyi.

Kumpulan pemantau berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Acled, berkata sekitar 19,000 orang maut tahun lalu akibat operasi tentera mematahkan tunjuk perasaan menentang junta.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), kira-kira 1.2 juta penduduk Myanmar kini menjadi pelarian termasuk lebih 70,000 yang sudah meninggalkan negara itu - REUTERS

Media Baharu