fb fb fb fb fb

Pengawal pantai Filipina tuduh kapal China menggunakan 'lampu laser'

Foto AFP

MANILA, 13 Februari - Pengawal Pantai Filipina pada Isnin menyatakan kapal pengawal pantai China menyuluh "lampu laser gred tentera" di salah satu botnya di Laut China Selatan yang menganggu penglihatan anak kapalnya buat sementara waktu.

Kejadian tersebut berlaku pada 6 Februari lalu, hampir 20 kilometer (12 batu) dari Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, tempat tentera marin Filipina ditempatkan, kata pengawal pantai dalam satu kenyataannya hari ini.


(Gambar edaran yang diambil pada 6 Februari 2023 dan dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina pada
13 Februari menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China memancarkan "lampu laser gred tentera"
di bot Pengawal Pantai Filipina hampir 20 kilometer (12 batu) dari Second Thomas Shoal,
di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang dipertikaikan/Foto AFP)

Ia merupakan episod terbaru dalam siri insiden pertembungan maritim antara Filipina dan China, yang menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan dan telah mengabaikan keputusan mahkamah antarabangsa bahawa tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Insiden itu juga berlaku beberapa hari selepas Amerika Syarikat(AS) dan Filipina bersetuju untuk menyambung semula rondaan bersama di laut dan mencapai perjanjian untuk memberi akses kepada tentera AS ke empat lagi pangkalan tentera di negara Asia Tenggara itu.

Bot peronda Filipina yang terjejas itu sedang dalam "misi penggiliran dan bekalan semula" minggu lalu untuk tenteranya, yang tinggal di sebuah kapal tentera laut yang terkandas sebagai pangkalannya bagai menegaskan tuntutan Manila terhadap beting berkenaan.

"Kapal Pengawal Pantai China memancarkan cahaya laser hijau gred tentera dua kali di kapal Filipina, menyebabkan gangguan penglihatan sementara kepada anak kapalnya di jambatan", kata kenyataan itu.

Kapal China itu juga membuat gerakan berbahaya dengan datang dalam jarak kira-kira 140 meter dari bot Filipina.

"Penyekatan kapal kerajaan Filipina yang disengajakan untuk menghantar makanan dan bekalan kepada anggota tentera kami... adalah pengabaian secara terang-terangan, dan jelas melanggar hak kedaulatan Filipina di bahagian Laut Filipina Barat ini," kata Pengawal Pantai Filipina.

Tidak jelas sama ada misi pembekalan semula ke Second Thomas Shoal berjaya. Kapal milik persendirian biasanya digunakan untuk membawa bekalan, dengan pengawal pantai mengiringi mereka.

Kedutaan China di Manila tidak memberi sebarang reaksi terhadap komen yang diberi.

Pengawal pantai China dan kapal militia maritim juga menyekat beting yang dikawal Filipina pada Ogos untuk menghalang kapal kerajaan daripada sampai ke tentera, kata pengawal pantai itu.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping bersetuju pada Januari untuk mengadakan komunikasi terus antara kementerian luar mereka untuk mengelakkan salah komunikasi di kawasan itu.

Tidak diketahui sama ada talian hotline itu digunakan dalam insiden terbaru itu.

Perjanjian AS-Filipina awal bulan ini menjadikan sembilan jumlah pangkalan Filipina yang boleh diakses oleh tentera AS.

Ia datang ketika sekutu lama berusaha untuk menentang peningkatan ketenteraan China di rantau ini.

Vietnam, Malaysia dan Brunei juga mempunyai tuntutan bertindih ke atas bahagian Laut China Selatan. - AFP

Media Baharu