fb fb fb fb fb

Tonga: Perlu masa sebulan baiki kabel dasar laut, bantuan disalur ikut protokol ketat elak COVID-19

FOTO AFP

WELLINGTON, 19 Januari- Kabel telefon dan internet dasar laut yang terputus akibat letusan gunung berapi di Tonga, memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk dibaik pulih.

Menurut Kementerian Luar New Zealand, hubungan komunikasi dengan Tonga terputus sejak Sabtu lalu sebaik letusan gunung berapi menyebabkan dua lokasi kabel utama terputus.

"Syarikat kabel Amerika Syarikat SubCom memberitahu, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk kabel disambung semula atau diperbaiki, menurut kenyataan kementerian itu.

Ketika ini hubungan komunikasi amat terhad menggunakan telefon satelit oleh kedutaan asing di Nuku'alofa.

Operator telekomunikasi, Digicel yang berjaya memulihkan perkhidmatan asas 2G domestik menyatakan, jaringan komunikasi antarabangsa masih 'jauh' untuk dibaik pulih.

PBB PASTIKAN STATUS TONGA BEBAS COVID-19 KEKAL

Sementara itu di Geneva, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan akan berusaha mengekalkan status Tonga 'bebas COVID-19' tatkala usaha bantuan antarabangsa disalurkan susulan tsunami kesan letusan gunung berapi di negara kepulauan Pasifik itu.

Menurut agensi itu kepada wartawan di Geneva, sebarang usaha bantuan kemanusiaan akan mematuhi protokol ketat ditetapkan kerajaan Tonga bagi mengekalkan status bebas pandemik.

"Tonga adalah negara sifar COVID-19. Mereka menguatkuasakan protokol ketat, ia satu daripada peraturan penting yang perlu dipatuhi petugas kemanusiaan dan kesemua protokol untuk masuk ke negara itu akan dipatuhi, jelas Jens Laerke, jurucakap Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan, Pejabat PBB.

Setakat ini, hanya satu kes positif COVID-19 dilaporkan di Tonga.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 60% daripada lebih 100,000 penduduk telah diberikan vaksinasi lengkap. -AFP

Media Baharu