fb fb fb fb fb

Amah Indonesia dibayar pampasan kes dera di Hong Kong

(Gambar yang diambil pada 7 Oktober 2022, Kartika menunjukkan parut pada
lengannya/AFP)

HONG KONG, 10 Februari- Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera oleh bekas majikannya, kira-kira 10 tahun lalu berjaya menerima pampasan ganti rugi sebanyak AS110,000 (HK$868,607)

Hakim memutuskan mangsa, Kartika Puspitasari, 40, dilayan secara tidak berperikemanusiaan dan perlu diberikan pampasan.

Kartika berdepan trauma dan kesan parut kekal apabila didera dengan seterika dan dipukul dengan rantai basikal oleh majikannya.

Susulan itu, majikannya disabitkan kesalahan dan dipenjarakan pada 2013.

Penderaan terhadap Kartika menjadi tajuk utama berita sedekad lalu dan mencetuskan gesaan untuk perlindungan lebih baik terhadap pembantu rumah di Hong Kong yang melakukan tugas memasak, membersihkan dan menjaga kanak-kanak serta orang tua.

Penderitaan dihadapi Kartika terbongkar selepas dia mendapatkan perlindungan pihak konsul sebelum berjaya kembali ke Indonesia pada 2014 tanpa menerima sebarang gaji.

Sementara itu, Kartika yang dihubungi melalui panggilan video di rumahnya di bandar Padang, Sumatera, Indonesia hanya mampu menangis menerima khabar gembira itu.

"Tiada ucapan mampu saya ungkapkan atas kebaikan anda semua,"

"Saya telah menunggu selama 10 tahun dan akhirnya doa saya dimakbulkan," katanya sambil berterima kasih kepada peguam dan semua rakannya.

"Namun, wang itu tidak setanding dengan kecederaan fizikal dan mental yang saya alami".tambah Kartika yang disahkan menghidap gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).

(Penderaan terhadap Kartika oleh majikannya di Hong Kong sebelum ini menjadi tajuk utama berita
sedekad lalu/AFP)

Sementara itu, Jurucakap Badan Penyelaras Migran Asia di Hong Kong, menyifatkan kes dihadapi Kartika adalah dahsyat, namun ia bukan kes terpencil.

Kira-kira 340,000 pembantu rumah asing, terutama wanita dari Indonesia dan Filipina, bekerja di Hong Kong.

"Kami benar-benar meminta kerajaan Hong Kong mengkaji semula dasar untuk menyegerakan proses undang-undang membabitkan kes penderaan pekerja sebegini dan memastikan mangsa pada akhirnya mendapat pampasan sebagaimana yang sepatutnya. -AFP

Media Baharu