GAZIANTEP, 10 Februari - Pasukan Penyelamat Malaysia (MAS-01) yang melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye, menemukan lima lagi mayat korban runtuhan.
Lima mangsa berkenaan membabitkan tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, semua mangsa terbabit dijumpai dalam operasi SAR di kawasan bangunan tujuh tingkat di Nurdagi, Gaziantep.

"Dalam operasi itu, pasukan MAS-01 menggunakan kaedah 'cutting & breaking' menggunakan peralatan khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
"Operasi amat rumit serta berbahaya memandangkan struktur tidak stabil, dan kesemua mangsa yang ditemukan telah meninggal dunia," kata NADMA menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, MAS-01 menjumpai tiga mayat mangsa runtuhan akibat gempa bumi, membabitkan masing-masing seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak.