WASHINGTON, 3 November- Calon presiden Demokrat Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris telah mengatasi wakil Republikan, Donald Trump dalam satu tinjauan baharu di Iowa.
Menurut Tinjauan Des Moines Register/Mediacom Iowa yang dikeluarkan pada Sabtu, pengundi wanita mungkin menjadi punca perubahan tersebut di negeri yang dimenangi Trump dengan mudah pada 2016 dan 2020.
"Tinjauan terhadap 808 pengundi antara 28-31 Oktober, menunjukkan Harris mendahului Trump 47%-44% di Iowa yang telah cenderung ke arah Republikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun berada dalam margin kesilapan 3.4 peratus, ini merupakan perubahan ketara daripada Tinjauan Iowa September. Tinjauan ini menunjukkan bahawa wanita terutama yang lebih tua atau yang berhaluan politik bebas, lebih memilih ke arah Harris," kata Register.
Trump memenangi Iowa dalam dua kempen presiden terdahulu, dengan lebih daripada sembilan mata peratus pada 2016 dan lapan mata pada 2020.
Tinjauan Emerson College Polling/RealClearDefense terhadap jumlah pengundi yang serupa pada 1-2 Nov menunjukkan hasil yang berbeza secara ketara, dengan Trump mendahului Harris dengan 10 mata.
Namun, tinjauan itu juga mempunyai margin kesilapan 3.4 peratus.
Tinjauan Emerson College menunjukkan Trump mempunyai kelebihan kuat ke atas Harris dalam kalangan lelaki dan pengundi bebas manakala Harris menunjukkan prestasi baik di kalangan mereka yang berumur bawah 30 tahun.
Harris dan Trump berdepan persaingan sengit, dengan pengundian awal sedang berjalan manakala hari pengundian akan berlangsung pada Selasa.
Kedua-dua parti telah menumpukan usaha mereka pada hari-hari akhir kempen di negeri "medan perang" seperti North Carolina, Pennsylvania, Michigan, dan Wisconsin.- REUTERS