VALENCIA, 3 November - Sepanyol menghantar 10,000 lagi anggota tentera dan pegawai polis ke wilayah Valencia yang dilanda banjir yang telah meragut 213 nyawa setakat ini, umum Perdana Menteri, Pedro Sanchez pada Sabtu.
Sanchez dalam ucapan yang disiarkan di televisyen menyifatkan bencana itu adalah kedua paling maut di Eropah pada abad ini, dan kerajaan telah bersetuju dengan permintaan pemimpin Valencia untuk tambahan 5,000 anggota tentera serta penghantaran 5,000 pegawai polis dan pengawal awam.
Pengagihan bantuan ke kawasan yang terputus bekalan makanan, air, dan elektrik menjadi keutamaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa dikritik atas sistem amaran sebelum banjir, dan beberapa penduduk mendakwa respon terhadap bencana itu lambat.
"Saya sedar respon ini tidak mencukupi, terdapat masalah dan kekurangan yang teruk," kata Sanchez, yang berjanji untuk memperbaiki usaha bantuan.
Akses ke jalan raya di wilayah Valencia telah disekat selama dua hari untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa rangkaian telefon dan pengangkutan yang rosak menyukarkan usaha mengenal pasti jumlah sebenar orang hilang.
Menurut Sanchez, bekalan elektrik telah dipulihkan kepada 94 peratus di kediaman yang terjejas dan beberapa lebuh raya telah dibuka semula.
Namun, kebanyakan jalan raya masih tidak dapat diakses, kata Menteri Pengangkutan, Oscar Puente.
Raja Felipe VI dan Ratu Letizia dijangka melawat kawasan Valencia pada Ahad bersama Sanchez dan pemimpin wilayah, Carlos Mazon.
Perkhidmatan kecemasan kini mengesahkan 213 kematian, 210 di Valencia, dua di Castilla-La Mancha, dan satu di Andalusia.-AFP