JAKARTA, 31 Ogos - Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyifatkan tindakan luar batas penunjuk perasaan yang tersebar di seluruh negara sebagai pengkhianatan dan keganasan.
"Hak untuk berhimpun secara aman harus dihormati dan dilindungi. Tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat tindakan di luar undang-undang.
"Malah bertentangan dengan undang-undang dan cenderung kepada pengkhianatan dan keganasan," katanya ketika berucap di istana presiden di sini.
Beliau pada masa sama turut mengarahkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan tegas terhadap individu yang melanggar undang-undang.
Protes bermula pada Isnin lalu selepas ahli Parlimen diumum bakal menerima elaun perumahan kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi daripada gaji minimum rakyat.
Kemuncak protes berlaku setelah kematian penghantar makanan yang dilanggar kenderaan polis.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam rusuhan terbesar sejak Prabowo memegang jawatan sebagai pemimpin.