fb fb fb fb fb

Prabowo tangguh lawatan ke China

Presiden Indonesia Prabowo Subianto menangguhkan lawatan ke China untuk memantau perkembangan demonstrasi yang telah merebak/ foto Bernama

JAKARTA, 31 Ogos - Presiden Indonesia Prabowo Subianto menangguhkan lawatan ke China untuk memantau perkembangan demonstrasi yang telah merebak ke beberapa wilayah negara itu.

Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata Prabowo juga memohon maaf kepada Kerajaan China kerana tidak dapat menghadiri undangan tersebut.

“Presiden ingin memantau perkembangan secara langsung di tanah air dan memimpin usaha mencari penyelesaian terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Prabowo dijadualkan menghadiri perarakan tentera di Beijing pada 3 September dan berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 September.

Penangguhan lawatan dibuat berikutan siri demonstrasi yang bermula Isnin lepas di Jakarta berikutan bantahan masyarakat terhadap elaun tinggi wakil rakyat.

Keadaan menjadi tegang apabila seorang penghantar makanan dilanggar kenderaan taktikal polis pada Khamis ketika pihak berkuasa cuba menyuraikan tunjuk perasaan.

Protes merebak ke Surabaya, Bandung, Medan, dan Yogyakarta, manakala di Makassar penunjuk perasaan membakar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) menyebabkan tiga penjawat awam maut pada Jumaat.

Pihak penunjukan perasaan turut menyerbu dan merompak kediaman beberapa wakil rakyat dan seorang menteri. - Bernama

JALALUDDIN BIN BAHARIN