fb fb fb fb fb

339 penduduk Gaza meninggal dunia akibat kebuluran

Kebuluran telah disahkan berlaku di utara Gaza yang dijangka merebak ke Deir al-Balah serta Khan Younis menjelang akhir September

GAZA, 31 Ogos - Tujuh lagi penduduk Palestin meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan berpunca daripada sekatan Israel dalam tempoh 24 jam lepas.

Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataan memaklumkan, kematian terbaharu itu menjadikan jumlah korban akibat kebuluran sejak Oktober 2023 meningkat kepada 339 orang, termasuk 124 kanak-kanak.

Kebuluran telah disahkan berlaku di utara Gaza yang dijangka merebak ke Deir al-Balah serta Khan Younis menjelang akhir September.

Dalam pada itu, menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), selepas 22 bulan konflik di Gaza, lebih setengah juta penduduk kini berdepan kebuluran, kemiskinan melampau dan kematian.

Seramai 1.07 juta penduduk lagi berada pada tahap kecemasan ketakjaminan makanan akut.

Masalah kebuluran berlaku disebabkan tindakan rejim Zionis Israel menutup semua lintasan sempadan ke Gaza bermula pada Mac lepas.

Ia bagi menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan walaupun ribuan trak bantuan terkandas di sempadan. - Bernama

JALALUDDIN BIN BAHARIN