SYDNEY, 20 Februari- Perdana Menteri Australia menuduh China melakukan ‘ugutan’ terhadap negaranya apabila sebuah kapal tentera laut China memancarkan laser ke sebuah pesawat angkatan pertahanan negara itu.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kapal tersebut antara dua buah kapal tentera laut China yang belayar di perairan luar pantai Australia dan Canberra menyifatkan tindakan itu boleh membahayakan nyawa.
"Saya merasakan ia adalah tindakan ugutan (menakut-nakutkan)," kata Perdana Menteri, Scott Morrison yang disifatkan “tindakan tidak wajar tanpa provokasi daripada pihak Australia”.
Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton turut menyuarakan kebimbangan dan berkata “tindakan yang sangat agresif.”
“Saya merasakan kerajaan China berharap tidak ada sesiapa akan bercakap mengenai tindakan ‘buli’ secara agresif itu, kata Dutton kepada Sky News pada Ahad.
(Kapal China Luyang (PLA-N) meninggalkan selat Tores selepas pesawat Tentera Udara Diraja Australia P-8A Poseidon mengesan laser dipancarkan ke arah pesawat dari Kapal Tentera Laut China (PLA-N)/AFP)
Menurut Kementerian Pertahanan, kapal China itu sedang belayar ke timur melalui Laut Arafura, di utara Australia.
Setakat ini, kerajaan China belum memberi sebarang reaksi atas dakwaan Australia itu.
Pada 2019, China dituduh melakukan perkara sama menggunakan laser gred tentera terhadap helikopter tentera udara Australia ketika melalui Laut China Selatan. -AFP