WASHINGTON, 20 Februari- Rusia akan melancarkan serangan ke atas Ukraine pada “bila-bila masa”; peringatan semula White House pada Sabtu ketika ahli politik barat mengadakan pertemuan di Munich bagi membincangkan krisis tersebut.
Setiausaha Akhbar Amerika Syarikat (AS), Jen Psaki berkata Presiden Joe Biden dijadual mengadakan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara luar biasa mengenai krisis Rusia – Ukraine itu.
Jumaat lalu, Biden ada menyatakan keyakinannya bahawa Moscow telah merancang untuk menyerang jiran bekas Soviet dalam beberapa hari lagi.
Jelas Psaki, Biden telah diberi taklimat mengenai mesyuarat Persidangan Keselamatan Munich yang menyaksikan kehadiran wakil-wakil barat termasuk Timbalan Presiden AS, Kamala Harris bagi membincangkan pertikaian yang semakin memuncak.
“Pasukan keselamatan negara mengingatkan bahawa Rusia akan melancarkan serangan terhadap Ukraine pada bila-bila masa,” tambahnya.
Para pegawai Barat di Munich terus membangkitkan kembimbangan tentang niat Rusia terhadap Ukraine meskipun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menolak dakwaan ‘mengerikan’ Washington itu merujuk pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dengan mengatakan "kami tidak fikir kami perlu panik."
Kremlin bertegas bahawa mereka tidak ada rancangan untuk melakukan serangan itu meskipun Moscow telah melakukan sedikit tindakan untuk mengurangkan ketegangan manakala media tempatan menuduh Kiev merancang serangan di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine iaitu Donetsk dan Luhansk.
(Gambar fail Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price/AFP)
AS dan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan, mereka yakin Moscow sedang mencipta alasan untuk menyerang Ukraine dengan memalsukan insiden ganas di lapangan seterusnya meminta proksinya mengeluarkan maklumat palsu.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price pada Sabtu memberi amaran, “kami mendapati lebih banyak bukti maklumat palsu Rusia digunakan sebagai alasan yang memungkinkan serangan Rusia terhadap Ukraine.
“Penduduk Donetsk melaporkan keadaan tenang walupun Rusia mendakwa ada insiden bom kereta.”
Semalam, EU juga memberi amaran bahawa mereka mendapati berlaku peningkatan ‘manipulasi’ maklumat palsu untuk menyokong campur tangan ketenteraan.
Amaran itu dikeluarkan selepas media Rusia menyiarkan laporan yang tidak dapat disahkan mengenai tindakan ganas di Timur Ukraine. -AFP