fb fb fb fb fb

Polis Kanada tahan puluhan penunjuk perasaan

FOTO AFP

OTTAWA, 20 Februari- Polis Kanada menggunakan semburan lada, melempar bom tangan dan menahan puluhan penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan berhadapan Parlimen bagi menyuarakan bantahan berhubung sekatan COVID-19.

Ketua Polis Interim Ottawa, Steve Bell, memaklumkan seramai 170 individu ditahan dalam masa dua hari.

Polis turut menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di depan Parlimen, Pejabat Perdana Menteri dan Bank Kanada.

"Pegawai di lapangan telah menunjukkan kesabaran dan profesionalisme. Mereka terlatih dan berpengalaman dan mereka memerlukan semua kepakaran itu untuk membawa hasil yang kita lihat. Pada setiap langkah, mereka menghadapi rintangan yang bertubi-tubi dan penolakan.

"Pada satu ketika, suar dinyalakan oleh penunjuk perasaan. Pegawai menggunakan bahan perengsa kimia, juga dikenali sebagai semburan lada, untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menyalahi undang-undang yang menentang arahan polis," katanya.

Kakitangan di bandar itu kini sedang giat melaksanakan kerja pembersihan dan menunda kenderaan yang masih berada di situ.

Polis menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penunjuk perasaan dan memberi amaran, mereka akan ditahan jika enggan beredar.

Pada hari kedua, polis turut menggesa penunjuk perasaan untuk membawa keluar kanak-kanak daripada kawasan berkenaan.

Penganjur protes yang dikenali dengan nama 'Konvoi Kebebasan' berkata, mereka meminta beberapa lori berundur dengan banyak kenderaan jenis itu keluar dari pusat bandar semalam.

Menurut polis, sebanyak 38 kenderaan ditunda dalam insiden berkenaan.

Polis turut berkata, mereka tidak menggunakan gas pemedih mata, dengan penunjuk perasaan turut membaling bom asap ketika demonstrasi berlangsung.

Tunjuk perasaan itu pada mulanya berlaku sebagai bantahan bagi memaksa kerajaan parti Liberal pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau, untuk memansuhkan mandat vaksin terhadap pemandu lori rentas sempadan.

Bagaimanapun, ia bertukar menjadi tunjuk perasaan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

Untuk rekod, demonstrasi berkenaan telah berlanjutan selama lebih tiga minggu dengan puluhan pemandu trak menyertainya dan menghalang laluan pusat dekat bandar itu. - REUTERS


Media Baharu