fb fb fb fb fb

TikTok Shop di Jepun bakal dilancar beberapa bulan akan datang

Foto Reuters

BEIJING, 27 April - Platform media sosial China, TikTok, akan memasuki industri beli-belah dalam talian di Jepun dalam beberapa bulan akan datang, lapor akhbar Nikkei pada Ahad.

Menurut laporan itu yang memetik sumber terlibat dalam operasi, syarikat berkenaan sedang bersiap sedia merekrut penjual bagi cabang e-dagangnya, TikTok Shop, di Jepun.

TikTok setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters.

TikTok Shop membolehkan pengguna menjalankan siaran langsung untuk menjual pelbagai barangan daripada kasut sukan hinggalah ke pembayang mata dan memperoleh komisen daripada jualan. Platform tersebut terkenal dengan tawaran produk pada harga diskaun.

TikTok kini sedang berusaha mengembangkan perniagaannya di luar Amerika Syarikat, sementara menunggu penyelesaian berkaitan kehadirannya di negara itu.

Pada Mac, TikTok Shop telah dilancarkan kepada pengguna di Perancis, Jerman dan Itali, sekali gus meluaskan jangkauannya ke benua Eropah.

Minggu lalu, Presiden AS Donald Trump berkata rundingan mengenai masa depan TikTok mungkin perlu ditangguhkan, sambil memberi isyarat kemungkinan berakhirnya perang tarif balas-membalas antara AS dan China yang sebelum ini mengejutkan pasaran.

Sebelum ini, Trump telah melanjutkan tarikh akhir untuk pemisahan aset TikTok di Amerika Syarikat buat kali kedua pada bulan April dan memberi jaminan bahawa rundingan masih "berlangsung".

Masa depan TikTok di Amerika Syarikat, yang digunakan hampir separuh daripada rakyatnya, masih belum pasti sejak undang-undang 2024 yang diluluskan dengan sokongan bipartisan, mewajibkan syarikat induk yang berpangkalan di China, ByteDance, untuk melupuskan pegangan ke atas aplikasi itu sebelum 19 Januari. - AFP

TETITIA YUSOFF