fb fb fb fb fb

Hotel di Jepun minta pelancong Israel tandatangan pengakuan tidak terlibat jenayah perang

Menurut kandungan pengisytiharan itu, tetamu perlu membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah melakukan jenayah perang seperti menyerang orang awam, keganasan seksual, penyeksaan, atau sebarang perbuatan yang melanggar Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa

ISTANBUL, 27 April- Sebuah hotel di Kyoto, Jepun meminta pelancong Israel menandatangani pengisytiharan yang mengesahkan dia tidak terlibat dalam jenayah perang semasa perkhidmatan tenteranya sebelum dibenarkan mendaftar masuk.

Kejadian berlaku selepas pelancong berkenaan mengemukakan pasport Israel di kaunter pendaftaran, sebelum seorang kakitangan hotel menyerahkan borang dan menyatakan bahawa tandatangan adalah syarat wajib untuk penginapan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Ynetnews pada Sabtu.

Pelancong itu, seorang bekas paramedik tempur simpanan Tentera Laut Israel pada awalnya enggan menandatanganinya, namun akhirnya akur selepas dimaklumkan bahawa semua tetamu dari Israel dan Rusia dikehendaki berbuat demikian.

Menurut kandungan pengisytiharan itu, tetamu perlu membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah melakukan jenayah perang seperti menyerang orang awam, keganasan seksual, penyeksaan, atau sebarang perbuatan yang melanggar Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dokumen itu juga memerlukan komitmen untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan berikrar tidak terlibat dalam jenayah perang pada masa hadapan.

Duta Israel ke Jepun, Gilad Cohen mengutus surat protes kepada Gabenor Kyoto, Takatoshi Nishiwaki, menyifatkan tindakan hotel itu sebagai “tidak boleh diterima.”

Bagaimanapun, pengurus hotel mempertahankan keperluan berkenaan, memberitahu Ynetnews bahawa langkah itu dianggap wajar.

"Bagi kami, perang adalah sesuatu yang jauh, dan kami tidak pernah bertemu dengan individu yang membunuh wanita dan kanak-kanak serta mengebom sekolah," kata pengurus itu.

Kejadian serupa dilaporkan berlaku di sebuah lagi hotel di Kyoto pada Jun tahun lalu.- BERNAMA-ANADOLU

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE