MEXICO, 29 November- Tiga wartawan Mexico ditembak dan cedera di negeri selatan Guerrero ketika mereka pulang daripada melakukan tugasan, kata pegawai.
Menurut kata pejabat pendakwa raya tempatan para wartawan yang membuat liputan mengenai pembunuhan di ibu negeri Chilpancingo ditembak oleh penyerang menaiki motosikal pada waktu tengah hari.
Wartawan itu dikenal pasti sebagai Jesus Antonio de la Cruz, Oscar Guerrero dan Victor Mateo Francisco. Mereka mengalami kecederaan di bahagian belakang, lengan dan leher tambah pendakwa raya.
Kumpulan advokasi media Reporters Without Borders (RSF) berkata ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil.
"RSF menyeru pihak berkuasa untuk bertindak segera bagi memastikan perlindungan mereka dan keluarga mereka," kata RSF di X.
Tiga wartawan itu membuat liputan berkaitan politik dan jenayah untuk media tempatan yang berbeza, menurut kumpulan itu.
Serangan itu berlaku seminggu selepas tiga wartawan lain diculik dan kemudian dibebaskan di bandar Taxco, juga di Guerrero.
Mexico dianggap sebagai salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk mengamalkan kewartawanan, menurut RSF.
Pada 16 November, jurugambar Ismael Villagomez ditembak dan dibunuh di bandar sempadan utara Ciudad Juarez. Tiga orang ditangkap atas pembunuhan itu.
Menurut RSF, sekurang-kurangnya lima lagi wartawan telah terbunuh di Mexico pada 2023, dan lebih 150 wartawan terbunh sejak tahun 2000.- AFP