fb fb fb fb fb

Gergasi Sepanyol Ferrovial jual baki pegangan dalam Heathrow

Foto hiasan

MADRID, 29 November- Gergasi infrastruktur Sepanyol Ferrovial mengumumkan bahawa ia akan menurunkan baki 25 peratus pegangannya di Lapangan Terbang Heathrow London kepada kumpulan ekuiti persendirian Perancis dan dana kekayaan negara Arab Saudi.

Selepas memiliki hab pelancongan United Kingdom (UK) selama 17 tahun, Ferrovial berkata ia telah mencapai perjanjian bernilai $3.01 bilion dengan Ardian dan Dana Pelaburan Awam Riyadh (PIF) yang berpangkalan di Paris.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh gergasi pembinaan Sepanyol, bawah syarat perjanjian itu, Ardian akan membeli 15 peratus daripada FGP Topco, syarikat induk yang mengawal lapangan terbang tersibuk di UK, dan dana awam Saudi akan mengambil 10 peratus.

"Sejak 17 tahun lalu, kami telah menyumbang kepada transformasi Heathrow, bersama-sama dengan rakan pemegang saham kami selain mencapai beberapa pencapaian cemerlang sepanjang peranan jangka panjang kami sebagai pelabur," kata Ketua Perniagaan Lapangan Terbang Ferrovial Luke Bugeja.

"Kami sangat berbesar hati kerana telah menjadikan Heathrow sebagai salah satu lapangan terbang paling sibuk di Eropah."

Ia membeli saham di Lapangan Terbang Heathrow dalam pengambilalihan pada tahun 2006 dan pada mulanya memegang 56 peratus hab itu, namun secara beransur-ansur mengurangkan kepentingannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2012, kumpulan itu menjual 10.62 peratus kepada Qatar Holding dengan harga 478 juta pound, diikuti 5.72 peratus kepentingan kepada CIC International China untuk bersamaan 319 juta euro ($415 juta).

Bulan lalu, Heathrow berkata ia mencatatkan jumlah penumpang tertinggi pada September iaitu lebih tujuh juta, berbanding angka trafik pra-pandemik.

Ferrovial berkata ia memberikan "komitmen penuh untuk memajukan perniagaan lapangan terbangnya" dan mengekalkan 50 peratus kepentingan dalam tiga hab UK lain iaitu Aberdeen, Glasgow dan Southampton serta 60 peratus kepentingan dalam Lapangan Terbang Dalaman Turki dan 49 peratus kepentingan dalam Terminal 1 baharu di Lapangan Terbang JFK di New York.

Firma itu menimbulkan kemarahan kerajaan Sepanyol kerana memindahkan ibu pejabatnya ke Belanda. Keputusan itu dikatakan akan memberi akses kepada kredit yang lebih murah dan menjadikannya lebih menarik kepada pelabur menjelang penyenaraian saham AS yang dirancang.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI