fb fb fb fb fb

Tiga warga emas maut dipercayai makan cendawan beracun

(FOTO HIASAN)

SYDNEY, 10 Ogos- Polis Australia pada Khamis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kematian tiga warga emas selepas didakwa memakan cendawan yang disyaki beracun dua minggu lalu.

Don Patterson, isterinya Gail Patterson dan kakaknya Heather Wilkinson, jatuh sakit dan kemudian meninggal dunia selepas makan tengah hari pada 29 Julai di Leongatha, sebuah bandar kecil luar bandar sekitar 135 km (84 batu) tenggara Melbourne, kata polis.

Mangsa keempat, seorang lelaki yang merupakan suami Wilkinson, Ian Wilkinson, seorang paderi di bandar berdekatan, masih dalam keadaan kritikal di hospital.

Kematian misteri itu mengejutkan Australia, namun, pihak berkuasa hanya dikatakan bertindak selepas ia mendapat perhatian umum .

Polis dilihat menggeledah pusat pelupusan tempatan untuk mencari 'dehydrator' atau pengering makanan yang dipercayai digunakan dalam penyediaan makan tengah hari itu.

Pada Ahad, polis berkata mereka telah menyoal siasat seorang wanita berusia 48 tahun yang menghidangkan makan tengah hari tersebut sebelum melepaskannya tanpa tuduhan.

“Apa yang berlaku amat mendukacitakan dan saya turut berduka,” kata wanita itu kepada media dalam temu bual penuh sebak di luar rumahnya pada Isnin.

Siasatan mungkin panjang kerana kerumitan kes itu, kata detektif Dean Thomas.

"Kami menganggap pada peringkat ini ia berpunca daripada cendawan tetapi ia adalah penyiasatan kompleks yang saya fikir akan mengambil sedikit masa," katanya.

Kematian akibat memakan cendawan agak jarang berlaku di Australia, yang mempunyai beberapa spesies cendawan termasuk jenis "death cap" yang meracuni dan boleh membunuh manusia.-REUTERS


(FOTO HIASAN)

Media Baharu