fb fb fb fb fb

Ancam bunuh Biden di media sosial, warga emas ditembak mati FBI

(FOTO Facebook Craig Robertson)

WASHINGTON, 10 Ogos- Seorang lelaki dari Utah yang membuat ugutan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ditembak mati oleh ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Rabu, hanya beberapa jam sebelum lawatan Presiden AS ke negeri itu.

FBI mengesahkan seorang suspek terbunuh ketika ejen khas cuba menyampaikan waran tangkap dan geledah di sebuah kediaman di Provo, sebuah bandar di selatan Salt Lake City.

Biro itu enggan mendedahkan identiti lelaki yang dibunuh itu sambil berkata siasatan sedang dijalankan.

Bagaimanapun, dalam aduan yang difailkan oleh pendakwa raya persekutuan di Utah, mangsa dikenali sebagai Craig Robertson.

Menurut aduan itu, Robertson, yang berusia awal 70-an dan menyifatkan dirinya sebagai "MAGA Trumper," berulang kali mengugut Biden dan yang lain dalam catatan di media sosial.

"Saya dengar Biden akan datang ke Utah," kata Robertson dalam satu hantaran minggu ini. "Saya mahu membersihkan habuk daripada senapang penembak tepat M24,"

Selain Biden, aduan itu menyebut Robertson juga ada membuat ugutan terhadap Naib Presiden, Kamala Harris dan Peguam Negara AS, Merrick Garland.

"Masa yang sesuai untuk satu atau dua pembunuhan presiden," dalam satu hantaran Robertson. "Joe dulu, kemudian Kamala!!!"

Dia juga mengancam untuk menembak peguam daerah Manhattan, Alvin Bragg, yang telah memfailkan pertuduhan terhadap bekas Presiden Donald Trump kerana didakwa membayar 'wang tutup mulut' menjelang pilihan raya kepada seorang pelakon lucah.

Aduan itu disertakan gambar daripada siaran media sosial oleh Robertson tentang koleksi senjatanya termasuk senapang separa automatik yang digelarnya sebagai "pembasmi demokrat."

Biden kini sedang melawat barat Amerika Syarikat dan dijadualkan menaiki penerbangan dari Albuquerque, New Mexico ke Salt Lake City.

Perkhidmatan Rahsia AS, yang melindungi presiden, berkata pihaknya ambil maklum mengenai penyiasatan FBI yang melibatkan seorang individu di Utah yang telah membuat ancaman kepada seorang yang dilindungi Perkhidmatan Rahsia tanpa memberikan butiran lanjut.-AFP


(FOTO REUTERS)

Media Baharu