fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Hawaii akibatkan enam kematian

(FOTO AFP)

LOS ANGELES, 10 Ogos- Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam kebakaran hutan yang turut memusnahkan sebuah bandar di Hawaii.

Penduduk pula terpaksa menyelamatkan diri daripada api yang bergerak pantas dan ada sesetengah penduduk terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

"Saya sedih untuk melaporkan telah disahkan terdapat enam kematian," kata Datuk Bandar Maui County Richard Bissen pada sidang akhbar.

"Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dan jadi saya tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini (jumlah kematian)."

Leftenan Gabenor Sylvia Luke mengeluarkan pengisytiharan kecemasan dan memberitahu CNN sistem hospital di pulau Maui terlalu dibebani dengan mangsa kebakaran yang melecur dan mengalami sesak nafas nafas.

"911 terputus. Perkhidmatan telefon juga terputus," katanya.

Lahaina, sebuah bandar pelancongan dengan 12,000 penduduk di hujung barat laut Maui, turut lumpuh, kata Gabenor Josh Green.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kebakaran menyebabkan kemusnahan teruk, terutama di pusat bandar dengan kepulan asap hitam besar.

Pengawal Pantai berkata mereka berjaya menyelamatkan 12 individu dari perairan Lahaina dan ia menghantar kapal lain ke Maui.

Angin kencang telah menghalang helikopter digunakan untuk operasi menyelamat atau memadam kebakaran.

Hampir 13,000 orang terputus bekalan elektrik di Maui, menurut penjejakan laman web poweroutage.us.

Sementara itu, Presiden Joe Biden berkata beliau mengerahkan semua sumber untuk membantu.

"Saya telah mengarahkan semua aset persekutuan yang ada di Kepulauan itu untuk membantu dengan kadar segera," kata Biden.

“Pasukan Pengawal Kebangsaan Hawaii telah menggerakkan Helikopter Chinook untuk membantu memadam kebakaran dan operasi mencari dan menyelamat di Pulau Maui.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu