fb fb fb fb fb

Calon presiden Ecuador ditembak mati semasa berkempen

FOTO REUTERS

QUITO, 10 Ogos- Calon presiden Ecuador dan bekas ahli parlimen, Fernando Villavicencio telah dibunuh pada Rabu.

Presiden Guillermo Lasso, berikrar bahawa pembunuh tidak akan terlepas daripada hukuman undang-undang.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Villavicencio, bekas penggubal undang-undang telah ditembak semasa acara kempen di Quito.

"Untuk ingatan dan perjuangannya, saya memberi jaminan bahawa jenayah ini tidak akan kekal tanpa hukuman."

"Jenayah terancang menjadi semakin melampau; semua undang-undang berkaitan akan dikenakan terhadap mereka," kata Lasso di X, platform media sosial yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.


(Fernando Villavicencio berucap ketika berkempen di Quito/REUTERS)

Video tular di media sosial pada acara kempen itu menunjukkan orang ramai berlindung dan menjerit ketika bunyi tembakan.

Berdasarkan tinjauan pendapat, sokongan Villavicencio adalah pada 7.5%, meletakkannya di tempat kelima daripada lapan calon presiden menjelang undian 20 Ogos nanti.

Villavicencio, dari wilayah Andes Chimborazo, adalah bekas ahli kesatuan di syarikat minyak negara Petroecuador dan kemudiannya menjadi seorang wartawan yang mengecam dakwaan kerugian berjuta-juta kontrak minyak.

Dia pada Selasa membuat laporan kepada pejabat peguam negara tentang perniagaan minyak tetapi tiada butiran lanjut laporannya didedahkan kepada umum.

Villavicencio adalah seorang pengkritik lantang terhadap bekas Presiden Rafael Correa dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana memfitnah berhubung kenyataan yang dibuat terhadap bekas presiden itu.

Dia melarikan diri ke wilayah Orang Asli di Ecuador dan kemudiannya diberi suaka di Peru.

Sebagai penggubal undang-undang, Villavicencio dikritik oleh ahli politik pembangkang kerana menghalang proses pemecatan tahun ini terhadap Lasso, yang menyebabkan mereka mengadakan pilihan raya awal. -REUTERS

Media Baharu