fb fb fb fb fb

Kim Jong Un pecat jeneral tentera, arah tingkatkan pengeluaran senjata

FOTO REUTERS

SEOUL, 10 Ogos- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memecat jeneral tertinggi tenteranya dan menggesa lebih banyak persediaan untuk kemungkinan perang.

Lapor media kerajaan KCNA pada Khamis, persediaan itu termasuk peningkatan dalam pengeluaran senjata dan pengembangan latihan ketenteraan.

Tambah laporan itu, Kim membuat kenyataan berkenaan pada mesyuarat Suruhanjaya Tentera Pusat yang membincangkan rancangan tindakan balas untuk menghalang musuh Korea Utara, yang tidak dinamakannya.

"Jeneral Ri Yong Gil dilantik menggantikan jeneral tertinggi tentera, ketua Staf Am Pak Su Il," lapor KCNA tanpa mengulas lanjut.

Namun, peranan Ri sebagai menteri pertahanan tidak dimaklumkan dengan jelas.


(FOTO REUTERS)

Minggu lalu, pemimpin diktator itu melawat kilang senjata dan meminta lebih banyak enjin peluru berpandu, artileri dan senjata lain dibina.

Gambar yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan Kim menunjuk ke arah Seoul dan kawasan sekitar ibu kota Korea Selatan pada peta.

Amerika Syarikat telah menuduh Korea Utara menyediakan senjata kepada Rusia untuk perangnya di Ukraine termasuk peluru artileri, roket dan peluru berpandu.

Bagaimanapun, Rusia dan Korea Utara telah menafikan dakwaan tersebut.

"Kim juga menyeru agar tentera menjalankan latihan dengan senjata dan peralatan terkini negara itu untuk memastikan pasukannya bersedia untuk pertempuran," kata laporan itu lagi

A.S. dan Korea Selatan dijadualkan mengadakan latihan ketenteraan antara 21 dan 24 Ogos, yang dilihat Utara sebagai ancaman kepada keselamatannya.-REUTERS

 

Media Baharu