(Salah seorang ahli keluarga mangsa menangis di luar lombong arang batu/AFP)
CUCUNUBA, 21 April- Tiga pelombong disahkan maut dengan sekurang-kurangnya empat lagi masih hilang dalam kejadian letupan arang batu di tengah Colombia pada Khamis.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca letupan yang berlaku sekitar pukul 1.00 pagi waktu tempatan di perbandaran sini dekat Cundinamarca.
Palang Merah Colombia berkata, tiga mayat berjaya dibawa keluar, manakala empat lagi pelombong terperangkap dan nasib mereka sama ada hidup atau sebaliknya masih tidak diketahui.
"Sebenarnya tiada harapan (untuk mencari mereka hidup), terdapat banyak (karbon) monoksida di lombong itu," kata Amparo Pachon, pelombong.
Gabenor Cundinamarca, Nicolas Garcia berkata, letupan terbabit menjejaskan lombong El Roble dan El Manto yang saling bersambung.
Pengumpulan gas menjadi punca paling kerap terhadap kemalangan perlombongan di negara itu, yang merupakan pengeluar arang batu terbesar di Amerika Latin.
Kementerian Lombong dan Tenaga mencatatkan sebanyak 1,262 kemalangan antara 2011 dan Mei 2022 yang menyebabkan purata lebih 100 orang mati setiap tahun.
Letupan pada pertengahan Mac di perbandaran Sutatausa, juga di Cundinamarca, menyebabkan 21 orang terkorban dan merupakan salah satu tragedi yang paling teruk di Colombia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. -AFP
(Nasib empat pelombong masih tidak diketahui/AFP)