(Foto AFP)
YAOUNDE, 21 April- Lima kematian akibat wabak taun dicatatkan di sini, ibu negara Cameroon sejak bulan lalu dengan Kementerian Kesihatan memberi amaran berkaitan "kebangkitan semula" penyakit itu.
Kementerian tersebut menyatakan wabak taun mula dikesan di ibu negara pada bulan lalu dan sekurang-kurangnya 88 kes telah dikenal pasti sejak pertengahan Mac di wilayah tengah negara termasuk Yaounde.
Menterinya, Manaouda Malachie dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, terdapat "kebangkitan semula" wabak yang pertama kali diisytiharkan pada Oktober 2021.
Beliau menambah, sistem pemantauan negara telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Taun, penyakit cirit-birit akut yang boleh membawa maut dalam tempoh beberapa jam jika tidak dirawat telah muncul semula secara berkala di Cameroon, yang mempunyai jumlah penduduk kira-kira 25 juta.
Kemas kini sebelumnya pada Oktober mencatatkan 272 kematian dan 12,952 kes dalam tempoh 12 bulan di seluruh negara.
Kawasan terbaharu yang terjejas termasuk empat daerah Yaounde, yang menempatkan kira-kira 2.8 juta, serta bandar berdekatan Mfou dan Obala. -AFP
(Foto AFP)