fb fb fb fb fb

Panda yang dipinjamkan China ke Thailand mati

(Lin Hui/AFP)

CHIANG MAI, 21 April- Seekor panda gergasi yang dipinjamkan dari China ke Thailand dilaporkan mati pada usia 21 tahun selepas mengalami pendarahan pada hidung.

Lin Hui adalah panda terakhir dari tiga ekor panda yang dipinjamkan ke negara itu dan tinggal di kandang berhawa dingin di Zoo Chiang Mai sejak tahun 2003.

Ia dijadual dikembalikan ke Tiongkok pada Oktober, namun mati pada Rabu lalu.

Pengarah zoo, Wutthichai Muangman berkata, Lin Hui mengalami pendarahan hidung pada Selasa dan berada dalam keadaan kritikal menjelang petang, sebelum meninggal dunia pada awal pagi Rabu.

"Kami membantunya semampu yang boleh sehingga Lin Hui meninggalkan kami," katanya.

Wutthichai berkata Thailand perlu membayar insurans sebanyak 15 juta baht (RM1,930,296) kepada China atas kematian itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Taman Zoologi Thailand, Dejboon Maprasert berkata, pakar China dan Thailand akan bersama-sama dalam menjalankan bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematian panda tersebut.

Lin Hui dan pasangannya, Chuang Chuang yang mati akibat serangan jantung pada 2019 adalah sebahagian daripada program "diplomasi panda" Beijing.

Pasangan panda itu berjaya melahirkan seekor anak diberi nama Lin Ping pada 2009 dan dihantar pulang ke China pada 2013.

Kematian Chuang Chuang bagaimanapun telah mencetuskan kemarahan di media sosial China dan pihak berkuasa China menghantar pasukan khas bagi menyiasat serta bersama-sama menjalankan bedah siasat. -AFP

(Lin Hui/AFP)

 

Media Baharu