fb fb fb fb fb

Tiga pelajar Palestin di kolej AS cedera ditembak, polis sifatkan ‘jenayah kebencian’

Kakitangan perubatan membawa mangsa tembakan memasuki ambulans di Burlington, Vermont, Amerika Syarikat (AS)/ REUTERS

WASHINGTON, 27 November - Insiden tiga pelajar Palestin yang menuntut di kolej Amerika Syarikat (AS) yang ditembak malam Sabtu lalu di Burlington, Vermont disifatkan sebagai “jenayah bermotifkan kebencian.”

Polis berkata suspek yang digambarkan sebagai "seorang lelaki kulit putih melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan dari pistolnya dan dipercayai melarikan diri dengan berjalan kaki."

Ketua Polis Burlington, Jon Murad, berkata pegawai menerima panggilan mengenai tembakan kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan dan mendapati dua orang cedera di satu lokasi berhampiran kampus universiti dan tembakan ketiga di lokasi berdekatan.

"Dalam keadaan sekarang, tidak dapat dinafikan kes ini berunsur perkauman dan satu jenayah didorong oleh kebencian.

"Saya sudah menghubungi pasukan penyiasat dan pendakwaan Persekutuan sebagai persediaan menghadapi kes ini dan kita kini menumpukan usaha memberkas suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut kenyataan sama, setakat ini polis belum mengenal pasti atau menahan penembak.

Menurut catatan Facebook 'Ramallah Friends School' semalam, tiga pelajar itu ditembak dalam serangan berhampiran Kampus Universiti Vermont, disyaki ditembak seorang suspek.

Mereka ialah Hisham Awartani, pelajar Universiti Brown di Rhode Island; Kinnan Abdel Hamid, pelajar Kolej Haverford di Pennsylvania dan Tahseen Ahmed pelajar Kolej Trinity di Connecticut.

2711 STUDENT PALESTINE SHOOT
Tiga pelajar Palestin, Hisham Awartani, Tahseen Ali, dan Kenan Abdulhamid, yang ditembak suspek tidak dikenali di Burlington,
Vermont, Amerika Syarikat (AS)/ AFP

Tembakan itu berlaku ketika AS menyaksikan lonjakan dalam insiden Islamofobia dan anti-Yahudi termasuk serangan ganas serta gangguan dalam talian, sejak konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.

Semalam, Jawatankuasa Anti-Diskriminasi AS-Arab, sebuah pertubuhan advokasi yang berpangkalan di AS, dalam kenyataan menggesa penguatkuasaan undang-undang negeri dan Persekutuan untuk menyiasat kes tembakan itu sebagai jenayah kebencian.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI