fb fb fb fb fb

Tiga pejuang Hizbullah terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan

Tapak serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di perkampungan Jibshit di selatan Lubnan pada 27 Februari 2024/ AFP

BEIRUT, 2 Mac- Serangan dron Israel mengorbankan tiga pejuang Hizbullah di selatan Lubnan hari ini, menurut sumber keselamatan di Lubnan.

Ia merupakan serangan maut terbaharu dalam beberapa bulan permusuhan rentas sempadan yang telah berlaku selari dengan perang di Gaza.

Menurut sumber tentera, lelaki itu terbunuh apabila kereta yang mereka naiki disasarkan di jalan pantai berhampiran bandar Naqoura.

Tentera Israel berkata ia sedang menyemak laporan mengenai kejadian itu.

Serangan Israel sejak Oktober telah membunuh lebih 200 pejuang Hizbullah dan kira-kira 50 orang awam di Lubnan, manakala serangan dari Lubnan ke Israel telah membunuh puluhan askar Israel dan lima orang awam.

Puluhan ribu rakyat Israel dan Lubnan telah melarikan diri dari kampung di kedua-dua belah sempadan.

Hizbullah yang merupakan sekutu Iran berkata kempennya di sempadan bertujuan menyokong rakyat Palestin dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Hizbullah memberi isyarat minggu ini bahawa ia akan menghentikan serangannya jika serangan Israel di Gaza dihentikan tetapi ia juga bersedia untuk terus berjuang jika perang Gaza berterusan.

Pada Jumaat, Hizbullah mengumumkan kematian empat anggota yang terbunuh di Lubnan.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant Ahad lalu menunjukkan bahawa Israel merancang untuk meningkatkan serangan ke atas Hizbullah sekiranya gencatan senjata Gaza berlaku, tetapi terbuka kepada perjanjian diplomatik untuk mengundurkan pejuang Hizbullah dari sempadan.

Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati memberitahu REUTERS pada Khamis bahawa penghentian pertempuran di Gaza seawal minggu depan akan mencetuskan rundingan, secara tidak langsung untuk menamatkan permusuhan di sempadan.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI