fb fb fb fb fb

Tiga orang terbunuh, serangan Rusia di selatan Ukraine

Kesan serangan Rusia terhadap bangunan di Kiev/ AFP

KIEV, 10 Julai- Serangan Rusia membunuh tiga orang di selatan Ukraine, termasuk di pelabuhan Laut Hitam Odesa, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Rusia telah melancarkan serangan setiap malam ke atas bandar di seluruh Ukraine sejak pencerobohannya pada Februari 2022.

Gabenor Oleg Kiper berkata penyerang menyasarkan infrastruktur pelabuhan di wilayah Odesa.

"Malangnya, dua orang terbunuh iaitu seorang pengawal keselamatan dan seorang pemandu trak," katanya.

Bagaimanapun, punca kematian tidak dapat dipastikan sama ada disebabkan oleh hentaman langsung atau serpihan yang jatuh daripada peluru berpandu yang musnah.

Pasukan pertahanan selatan berkata Rusia melancarkan peluru berpandu balistik dan empat peluru berpandu di pelabuhan selatan.

"Hasil tindakan balas yang aktif, tiga peluru berpandu Kh-59/Kh-69 musuh tidak mengena sasaran mereka," tambahnya.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 62 tahun terbunuh dalam tembakan Rusia di bandar selatan Nikopol.

Tentera udara berkata bahawa 14 daripada 20 dron yang dilancarkan ke atas Ukraine telah musnah.

Ia berlaku dua hari selepas serangan pada siang hari yang jarang berlaku di ibu negara Ukraine dan turut mengorbankan 34 orang, menurut jumlah terkini daripada pentadbiran tentera Kiev.-AFP

ROSLINA BINTI DIN