GAZA, 10 Julai- Tentera Israel melancarkan lebih banyak serangan maut di seluruh Gaza pada hari Rabu.
Menurut sumber perubatan dan tentera, rejim zionis menyasarkan kumpulan Hamas yang didakwa beroperasi dari dalam bangunan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
"Awal Rabu, empat orang terbunuh dan seorang cedera parah dalam pengeboman sebuah rumah di tengah bandar Nuseirat", kata sumber hospital kepada AFP.
"Dan dua orang terbunuh dan enam cedera dalam serangan lain di sebuah rumah di Bani Suhaila, dekat Khan Yunis, menurut sumber hospital lain.
Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh di sebuah sekolah berdekatan di kawasan selatan Khan Yunis. Ia adalah serangan keempat ke atas bangunan sekolah dalam tempoh empat hari.
Israel telah meningkatkan serangan udara dan darat di Bandar Gaza dan selatan Gaza sejak mengeluarkan arahan pemindahan untuk berpuluh-puluh ribu orang di wilayah Palestin yang dilanda perang.
Serangan tentera Israel semakin meningkat ketika pegawai Israel memulakan rundingan di Qatar pada hari Rabu mengenai gencatan senjata, sejak konflik Israel-Palestin pada Oktober lalu.
Serangan semalaman di Gaza menyasarkan kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam yang beroperasi dari dalam ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Agensi PBB itu tidak mempunyai kawalan ke atas bangunan itu sejak Oktober.
Pada Februari lalu, tentera Israel mendakwa telah menemui terowong Hamas di bawah ibu pejabat agensi itu.
Israel berkata kumpulan Hamas beroperasi di dalam ibu pejabat UNRWA di kawasan itu dan menggunakannya sebagai pangkalan untuk melakukan serangan ke atas tentera IDF (Pasukan Pertahanan Israel) di tengah Gaza.
Zionis juga mendakwa pejuang Hamas telah dihapuskan dan menemui sejumlah besar senjata.
Sementara itu, UNRWA tidak memberikan maklum balas segera mengenai serangan itu, tetapi ia berkata mereka tiada cara untuk mengesahkan dakwaan bahawa kemudahannya digunakan oleh kumpulan Hamas dan sekutunya.
Sementara itu, serangan maut pada Selasa berhampiran sekolah Al-Awda di Abasan, dekat Khan Yunis, mendapat kecaman daripada Hamas berhubung taktik ketenteraan Israel. Majoriti yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.
Serangan itu adalah kali keempat dalam tempoh empat hari dan menyasarkan bangunan sekolah Gaza yang menjadi tempat untuk penduduk Gaza mendapatkan perlindungan.
Menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, serangan Israel meyebabkan seramai 38,243 orang terkorban di Gaza.-AFP