fb fb fb fb fb

Tiga maut, lima cedera insiden berbalas tembakan di New Mexico, AS

(Foto Hiasan)

LOS ANGELES, 28 Mei- Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, manakala lima lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan pada perhimpunan penunggang motosikal di New Mexico, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Tembakan berlaku kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan, ketika 20,000 penunggang motosikal mengambil bahagian dalam perhimpunan motosikal tahunan di Red River, sebuah bandar kecil berhampiran destinasi ski Taos.

Datuk Bandar Red River, Linda Calhoun mengesahkan kematian dan kecederaan, namun tidak menyatakan bilangan suspek yang telah ditangkap.

"Tiada penguatkuasa undang-undang, tiada responden pertama cedera. Tiada penduduk tempatan cedera...ia adalah insiden berkaitan kumpulan samseng," katanya yang enggan mendedahkan kumpulan mana dipercayai terlibat.

"Para penembak semuanya telah ditahan," tambahnya.

Beliau menyatakan demikian dalam temu bual video dengan saluran tempatan Questa Del Rio News.

(Datuk Bandar Red River, Linda Calhoun mengesahkan kematian dan kecederaan,
namun tidak menyatakan bilangan suspek yang telah ditangkap/Foto Hiasan)

Sementara itu, The Taos News melaporkan seorang pegawai penguatkuasa undang-undang telah merujuk insiden itu sebagai 'a rolling shootout' antara Banditos (Kelab Motosikal) dan orang lain.

Seorang saksi pula menggambarkan keadaan huru-hara yang tercetus dalam kumpulan besar orang ramai.

"Ada orang berlari di tempat kami berdiri, menjerit. Ketika semua orang berlari, kemudian saya mendengar bunyi tembakan," kata Eddie Cook.

Susulan insiden itu, Datuk Bandar Taos mengumumkan perintah berkurung antara pukul 10 malam dan 4 pagi, selain mengharamkan penjualan alkohol, menurut Taos News.-AFP

Media Baharu