fb fb fb fb fb

Tiga maut, puluhan cedera serangan Rusia di Ukraine

Pertahanan udara Ukraine menembak jatuh sebuah dron Rusia di atas Kyiv semasa serangan besar-besaran dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine pada 20 September 2025 (Foto: Sergei SUPINSKY / AFP)

KYIV, 20 Septemberi- Tiga maut dan puluhan lagi cedera dalam serangan terbaharu oleh Rusia ke atas Ukraine di wilayah Dnipropetrovsk, Chernigiv dan Khmelnytskyi.

Presiden Volodymyr Zelensky menyifatkan ia salah satu serangan terbesar Rusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang melibatkan 40 peluru berpandu dan lebih 500 dron.

Menurut Zelensky, serangan semalaman turut menyaksikan sebuah peluru berpandu bersenjatakan kluster mendarat terus ke sebuah bangunan pangsapuri di bandar timur Dnipropetrovsk.

"Sepanjang malam, Ukraine diserang secara besar-besaran oleh Rusia. Musuh melancarkan 40 peluru berpandu – termasuk peluru berpandu berpandu dan balistik – serta kira-kira 580 dron pelbagai jenis,” katanya.

Sementara itu, Rusia mendakwa pasukan mereka berjaya menangkis "serangan besar" oleh Ukraine di wilayah Volgograd dan Rostov, manakala seorang cedera di Saratov.

Kementerian Pertahanan Rusia berkata sistem pertahanan udara mereka memintas dan memusnahkan 149 dron Ukraine semalaman.

Rusia terus menekan wilayah timur Ukraine termasuk Donetsk dan Lugansk, manakala harapan gencatan senjata semakin suram selepas pertemuan bulan lalu antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Zelensky.

Ketegangan turut meningkat di sempadan timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas Estonia melaporkan tiga pesawat tentera udara Rusia melanggar ruang udara mereka.

Warsaw pula mendakwa kira-kira 20 dron Rusia terbang melepasi wilayahnya, namun Kremlin menafikan.

United Kingdom, Jerman dan Perancis mengumumkan rancangan memperkukuh rondaan udara bersama di kawasan timur NATO. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA