fb fb fb fb fb

PBB: Usaha hadkan pemanasan global gagal

Foto REUTERS

NEW YORK, 20 September – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Jumaat memberitahu AFP bahawa usaha mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding era praindustri menuju ke arah kegagalan.

Pengakuan Guterres dibuat ketika PBB bersiap-siap menganjurkan Minggu Iklim bersempena Perhimpunan Agung tahunannya.

Matlamat iklim bagi tahun 2035 oleh negara-negara yang menandatangani Perjanjian Paris dikenali sebagai Sumbangan Ditentukan Negara (NDCs) yang sepatutnya dikemukakan beberapa bulan lalu.

Namun, ketidaktentuan akibat ketegangan geopolitik dan persaingan perdagangan telah melambatkan proses tersebut.

“Kita berada di ambang kegagalan untuk mencapai sasaran ini,” katanya.

“Kita benar-benar perlukan negara-negara hadir dengan pelan tindakan iklim yang sejajar sepenuhnya dengan sasaran 1.5 darjah Celsius, merangkumi keseluruhan ekonomi mereka dan semua pelepasan gas rumah hijau,” jelas Guterres.

“Adalah penting untuk mengurangkan pelepasan secara drastik dalam beberapa tahun akan datang jika kita mahu mengekalkan had 1.5 darjah Celsius itu.”

Kurang daripada dua bulan sebelum Persidangan COP30 di Brazil, puluhan negara masih lagi bergerak perlahan mengumumkan pelan masing-masing khususnya China dan Kesatuan Eropah (EU), dua kuasa besar yang dianggap penting bagi masa depan diplomasi iklim.

Usaha menangani kesan pemanasan global akibat perbuatan manusia telah diketepikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat pelbagai krisis termasuk pandemik Covid-19 dan beberapa peperangan.

Justeru, Guterres berusaha mengembalikan semula fokus terhadap isu iklim.

PBB berharap Sidang Kemuncak Iklim yang dipengerusikan bersama Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, di New York pada Rabu lalu dapat meniup semula semangat menjelang COP30.

Guterres turut menyuarakan kebimbangan bahawa NDCs atau pelan tindakan iklim negara mungkin akhirnya tidak menyokong sasaran mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.

“Ini bukan soal untuk panik. Ini soal untuk lebih bertekad, memberi segala tekanan kepada negara-negara,” katanya.

Mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding era praindustri (1850–1900) merupakan sasaran paling bercita-cita tinggi dalam Perjanjian Paris 2015.

Namun, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan terdapat kebarangkalian 50:50 bahawa suhu global purata bakal mencecah 1.5 darjah Celsius menjelang 2030–2035.

Saintis menegaskan setiap peningkatan suhu akan meningkatkan risiko, termasuk gelombang haba dan kemusnahan ekosistem marin.

Mengehadkan kepada 1.5 darjah Celsius berbanding 2 darjah Celsius akan dapat membendung sebahagian besar kesan bencana paling buruk, menurut IPCC.

Menurut data PBB, tahun 2024 direkodkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD