fb fb fb fb fb

Dunia tidak perlu tunduk dengan ancaman Israel

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres / Foto REUTERS

NEW YORK, 20 September - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata dunia tidak perlu tunduk dengan ancaman Israel dan rancangan aneksasi berterusan terhadap Tebing Barat yang diduduki.

Israel dilaporkan mengugut untuk menganeksasi Tebing Barat sekiranya negara-negara Barat meneruskan rancangan mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB minggu depan di New York.

“Kita tidak boleh rasa gentar dengan ancaman tindakan balas, kerana sama ada kita bertindak atau tidak, mereka tetap akan meneruskannya. Sekurang-kurangnya ada peluang untuk menggerakkan komuniti antarabangsa memberi tekanan supaya ia tidak berlaku,” katanya kepada AFP.

Guterres sebelum ini berulang kali menggesa agar Israel menghentikan kempen ketenteraan secara besar-besaran di Gaza dan menarik balik ancaman serangan terhadap Bandar Gaza.

“Ini adalah tahap kematian dan kemusnahan paling buruk yang pernah saya lihat sepanjang menjadi Setiausaha Agung, mungkin juga sepanjang hidup saya.

"Penderitaan rakyat Palestin tidak dapat digambarkan. Kebuluran, ketiadaan perkhidmatan kesihatan, hidup tanpa tempat perlindungan dalam kawasan padat umpama kem penempatan besar,” katanya.

Meskipun begitu, beliau enggan melabel tindakan Israel di Gaza sebagai “pembunuhan beramai-ramai” (genosid), meskipun beberapa agensi PBB menggunakan istilah itu yang dibantah keras oleh Israel.

“Masalahnya, bukan kuasa saya untuk membuat penentuan undang-undang mengenai genosid. Tetapi masalah sebenarnya bukan pada perkataan, tetapi realiti di lapangan,” ujarnya.

Tentera Israel minggu ini melancarkan serangan darat pada Selasa dan terus menggesa penduduk Gaza berpindah ke selatan. Namun ramai rakyat Palestin mendakwa perjalanan itu terlalu mahal dan mereka tidak tahu ke mana harus dituju. AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD