NEW YORK, 20 September - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat membenarkan usul Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyampaikan ucapan pada sesi ke-80 kepada pemimpin dunia menerusi persidangan video minggu depan susulan tindakan Amerika Syarikat menahan visa beliau dan delegasinya daripada menghadiri persidangan.
Resolusi itu diluluskan dengan 145 undi menyokong, lima menentang dan enam berkecuali.
Resolusi berkenaan menetapkan wakil Palestin dibenarkan menghantar rakaman ucapan Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmud Abbas untuk dipaparkan di dewan persidangan semasa perbahasan umum.
Selain itu, resolusi berkenaan turut membenarkan Mahmud Abas menyampaikan ucapan menerusi persidangan video pada mesyuarat Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara.
Draf resolusi itu juga membenarkan Palestin menghantar rakaman ucapan presiden atau wakil kanan pada mana-mana mesyuarat peringkat tinggi atau persidangan PBB, serta persidangan antarabangsa di bawah UNGA atau badan PBB lain, sekiranya wakil Palestin dihalang daripada menghadiri mesyuarat.
Bulan lalu, Washington mengumumkan, Abbas bersama kira-kira 80 lagi rakyat Palestin akan terjejas susulan keputusan menolak atau membatalkan visa ahli Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) serta Pihak Berkuasa Palestin. - REUTERS