fb fb fb fb fb

Gangguan telekomunikasi, lebih 1,800 penerbangan di Dallas tergendala

Foto REUTERS

DALLAS, 20 September - Lebih 1,800 penerbangan ditangguhkan dan ratusan telah dibatalkan di dua lapangan terbang utama Dallas pada Jumaat, susulan gangguan telekomunikasi sehingga Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan menghentikan sementara pelepasan.

Menurut FAA, pihaknya telah menghentikan semua pelepasan penerbangan di Lapangan Terbang Dallas Love Field sehingga sekurang-kurangnya 8.45 malam waktu timur (ET) (0045 GMT) dan ke Lapangan Terbang Dallas Fort Worth sehingga 11 malam ET (0300 GMT).

FlightAware melaporkan syarikat-syarikat penerbangan telah membatalkan kira-kira 20 peratus daripada penerbangan di Dallas.

FAA menjelaskan kelewatan trafik udara berpunca daripada isu peralatan milik syarikat telekomunikasi tempatan yang tidak melibatkan peralatan milik FAA.

"FAA sedang bekerjasama dengan syarikat telefon untuk menentukan puncanya," kata agensi itu.

Masalah dalam rangkaian kawalan trafik udara FAA telah berlarutan sejak bertahun-tahun, namun beberapa insiden berprofil tinggi termasuk hampir berlakunya pelanggaran, kekurangan tenaga kerja, serta kemalangan tragis pada Januari yang melibatkan perlanggaran antara helikopter Tentera Amerika Syarikat dan pesawat American Airlines yang mengorbankan 67 nyawa, turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN