WASHINGTON, 20 September - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat mengumumkan bahawa tentera AS telah menyerang sebuah bot yang didakwa membawa dadah di kawasan yang berada di bawah tanggungjawab Komando Selatan AS (SOUTHCOM), dalam serangan terbaharu AS di Caribbean selatan.
Serangan itu merupakan kali ketiga dilakukan AS ketika cubaan AS meningkatkan kehadiran tentera di rantau itu.
Ini termasuk lima pesawat F-35 yang mendarat di Puerto Rico selepas 10 jet pejuang diarahkan menyertai operasi.
Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya tujuh kapal perang dan sebuah kapal selam berkuasa nuklear ditempatkan di kawasan tersebut.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump berkata Pentagon melaksanakan serangan atas arahan beliau, membunuh “3 lelaki pengganas dadah di atas kapal.”
Beliau turut mendakwa pihak risikan mengesahkan bot itu membawa dadah haram melalui laluan penyeludupan yang dikenali untuk "meracuni rakyat Amerika".
Video berdurasi satu minit menunjukkan bot itu terkena peluru dan kemudian meletup dan terbakar di laut.
Tindakan meletupkan bot suspek dadah, bukan menimbulkan kritikan dan persoalan undang-undang dan hak asasi manusia.
Pemerhati hak asasi mengkritik tindakan itu sebagai “pembunuhan luar mahkamah yang tidak sah.”
Sementara itu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro sering kali menuduh AS berhasrat menjatuhkan beliau.
Bulan lalu, Washington menggandakan ganjaran kepada AS$50 juta bagi sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penahanan Maduro yang dituduh berhubung kegiatan dadah dan kumpulan jenayah.
Namun dakwaan tersebut dinafikan Maduro, - REUTERS