JAKARTA, 20 September- Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, timur Indonesia meletus beberapa kali dengan memuntahkan debu sehingga enam kilometer ke udara, sehari selepas tahap amaran dinaikkan ke paras tertinggi.
Letusan terbesar dilaporkan semalam sekitar 10.46 malam waktu tempatan diikuti beberapa siri letusan pada pagi ini yang menghamburkan abu setinggi 2.5 kilometer.
Susulan itu, Lapangan Terbang Frans Seda di bandar Maumere yang mengendalikan penerbangan domestik terpaksa menangguhkan operasi.
Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid mengingatkan penduduk dan pelancong supaya menjauhi kawasan dalam lingkungan enam kilometer dari kawah selain berwaspada terhadap kemungkinan banjir lahar sekiranya hujan lebat berlaku.
Pada Julai lalu, gunung sama pernah menghamburkan abu setinggi 18 kilometer sehingga memaksa 24 penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bali dibatalkan.
Gunung Lewotobi Laki-Laki berketinggian 1,584 meter mempunyai puncak berkembar dengan Gunung Lewotobi Perempuan setinggi 1,703 meter. -AFP