fb fb fb fb fb

Tiga maut, puluhan cedera dalam runtuhan bangunan di Indonesia

Foto Hiasan

JAKARTA, 7 September – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah bangunan runtuh di Pulau Jawa, Indonesia, pada Ahad.

Menurut pegawai Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Bogor, Mochamad Adam Hamdani, kira-kira 100 orang, kebanyakannya wanita, berkumpul di sebuah dewan komuniti di daerah Bogor, Jawa Barat, bagi memperingati Maulidur Rasul, sebelum bangunan tersebut tiba-tiba runtuh.

“Menurut data awal, 84 mangsa sedang menerima rawatan, dan tiga orang disahkan meninggal dunia,” katanya kepada AFP pada Ahad.

Beliau memaklumkan, bangunan tersebut yang turut digunakan sebagai tempat beribadah dan dewan perjumpaan, berkemungkinan runtuh akibat terlalu sesak dengan pengunjung.

“Mungkin struktur bangunan tidak kukuh kerana orang ramai begitu teruja untuk hadir bagi memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, semua mangsa di dalam bangunan telah dikenal pasti, dan mereka yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, kebanyakannya mengalami kecederaan ringan.

Beliau turut mengesahkan, berdasarkan saksi, tiada hujan atau kejadian tanah runtuh semasa insiden berlaku.

Standard pembinaan yang longgar sering menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan bangunan di Indonesia.

Pada 2022, sebuah pasar raya tiga tingkat di Kalimantan Selatan runtuh dan meragut lima nyawa. Dua tahun sebelumnya, dua orang cedera selepas bangunan lima tingkat di Jakarta runtuh.

Pada 2018, tujuh remaja yang sedang menjalani latihan persembahan muzik turut terkorban apabila bangunan di Cirebon, timur Jakarta, runtuh, selain 75 lagi cedera selepas lantai tingkat atas bangunan Bursa Saham Indonesia runtuh ke ruang lobi utama. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM